SEMINAR PANDANGAN ALAM ISLAM & SYARAHAN PERDANA PROF. DR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

SEMINAR PANDANGAN ALAM ISLAM & SYARAHAN PERDANA PROF. DR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS
Sila klik pada gambar untuk maklumat lanjut.
Tarikh: Ahad, 13 Disember, 2009
Masa: 8:15am - 11:15pm
Tempat: Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta


PENDAHULUAN

Dalam menghadapi kegentingan masalah masyarakat Islam dalam pelbagai bidang dewasa ini, satu usaha yang terencana dan teliti bagi merungkai masalah tersebut amat diperlukan. Oleh sebab itu, segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan unsur-unsur penting yang membentuk alam pemikiran mereka. Bertitik tolak dari kesedaran tentang pentingnya usaha tersebut satu seminar sehari pengukuhan Pandangan Alam Islam akan dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia.


OBJEKTIF

1. Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
2. Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
3. Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.


PENGANJUR

Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Dengan kerjasama,
Institut Integriti Malaysia (IIM)


PESERTA

Sasaran penyertaan sebanyak 200 orang (bagi Seminar) dan 500 orang (bagi Syarahan Perdana) daripada kalangan ahli akademik, ahli profesional, pelajar dan orang awam.


YURAN

Yuran Seminar dan Syarahan Perdana:
Organisasi : RM100 seorang (kumpulan 5 orang)
Individu : RM150
Pelajar : RM20

Yuran untuk Syarahan Perdana sahaja:
Individu : RM50
Pelajar : RM10


TENTATIF PROGRAM

9.00 – 10.30 pagi Perasmian oleh Tetamu Kehormat

Ucap Utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, UKM
Tajuk: Pengukuhan Pandangan Alam Islam Di Kalangan Masyarakat Islam Kini: Cabaran dan Harapan

11.00 – 1.00 ptg Sidang Pertama
Pembentang:
1. Dr. Mohd Zaidi Ismail, IKIM
Tajuk: Faham Ilmu Dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas

2. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM
Tajuk: Makna dan Matlamat Agama dalam Islam

2.00 – 3.30 ptg Sidang Kedua
Pembentang:

1. Dr. Mohd Sani Badron, IKIM
Tajuk: Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam

2. Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM
Tajuk: Islam dan Falsafah Sains

3.45 - 5.30 ptg Sidang Tiga
Pembentang:

1. Dr. Ahmad Bazli Shafie, UMT
Tajuk: Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan

2. Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, IKIM
Tajuk: Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan

5.30 - 8.30 Rehat

9.00 – 11.00 mlm Syarahan Perdana ( Dalam Bahasa Inggeris/In English)

Oleh: Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas

Klik untuk maklumat lebih lanjut.

Thursday, December 3, 2009

ILMUWAN DAN MISI PENCERAHAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Bilamana disebut ilmuwan, dampak pada pemikiran kita orangnya hebat, berkaliber serta punya hikmah. Ilmuwan, juga boleh kita katakan sebagai guru, kerna ilmuwan seharusnya menggunakan ilmunya untuk disebarluaskan kepada ramai, mengajar, mendidik serta memberi contoh tauladan. Justeru, ilmuwan itu umpamanya pelita.

Pelita secara fitrahnya bersifat menerangi kegelapan, baik di pekat malam mahupun di kala memerlukan. Kehadiran pelita dilihat sebagai satu simbolik yang sepadan, serta tepat bagi menggambarkan seorang ilmuwan. Ilmuwan, seharusnya mencontohi tauladan seorang insan ilmuwan bernama Muhammad bin Abdullah S.A.W. Hadirnya Nabi Muhammad S.A.W dahulunya membawa sekumpulan besar manusia jahiliyyah dari kegelapan kepada terang (kebenaran).

Begitulah hebatnya citra seorang insan bergelar ilmuwan. Dirinya kental, dan tabah serta bijak mengharungi dugaan hidup. Sepanjang hayatnya, ilmuwan terikat setia bukan pada individu, kumpulan, puak, golongan mahupun parti, tetapi setia kepada kebenaran. Dan, hakikat kebenaran, sejagat manusia mengetahui; kebenaran itu pahit.

Untuk benar-benar menjadi pelita, seorang ilmuwan sepatutnya menjadi berani untuk hadir dan tampil ke dalam gelap. Apa gunanya menjadi pelita, tetapi takut kepada gelap? Lalu, misi pencerahan dan citra ilmuwan itu secara tidak langsungnya hilang dan pudar. Untuk berpegang kepada kebenaran sememangnya satu perkara yang tidak mudah.

Seorang ilmuwan juga, seharusnya bergerak, baik sebagai pemikir, atau pelaksana, atau kedua-duanya. Persoalannya pada hari ini, apakah masih wujud golongan manusia yang bergelar ilmuwan ini?

Dewasa ini, ilmuwan mengalami satu masalah di mana kebanyakannya berpandangan bahawa ilmuwan hanyalah orang yang mengeluarkan sesuatu thesis (baca:pendapat) tanpa dilihat sebagai satu komponen penting dalam perlaksanaan thesis yang dinyatakan olehnya itu. Pendangkalan makna ilmuwan, serta peranan mereka secara tidak langsung menjadikan ilmuwan sebagai satu komponen pasif dalam pembangunan negara.

Ilmuwan kini bertindak mengikut tuntutan semasa (pihak-pihak tertentu dsb) lantas memilih untuk setia dengan selain dari kebenaran. Oleh itu, dapat kita lihat betapa ramai ilmuwan pada hari ini yang sekadar 'ilmuwan' pada nama, tapi tidak pada peribadinya. Adalah satu kekecewaan bilamana ilmuwan bertindak atas dasar kepentingan peribadi, serta kepentingan puak-puak atau kumpulan-kumpulan tertentu.

bersambung...

Syed Putra Iqmal Bin Syed Badli Shah
PKPIM PAUIAM Nilai.

Gagasan Pengislaman Ilmu (Islamisasi Ilmu)



Bismillahirrahmanirrahim.

Oleh: Fazril Bin Saleh Peminggir Kota

Salah satu cara paling berkesan untuk menyelamatkan dunia ilmu sains sosial dari putar belit Freemason dan Illuminati ialah dengan melaksanakan Gagasan PengIslaman Ilmu.


Gagasan ini mula dibangunkan oleh Allahyarham Dr. Ismail Raji Al-Faruqi yang merupakan profesor Pengajian Islam di Universiti Temple, Philadelphia. Tetapi idea sebenar penggunaan istilah ‘PengIslaman Ilmu’ adalah lonjakan daripada Syed Naquib Al-Alattas dari Malaysia pada 1974.


GPI adalah satu objektif baru yang dibina oleh beberapa kelompok pemikir Islam dalam usaha mengeluarkan konsep-konsep pemikiran dan metodologi sains sosial dari konsep-konsep Barat.
Gagasan PengIslaman Ilmu memainkan peranan penting dalam usaha mendefinasikan semula ilmu-ilmu sains sosial seperti sosiologi, antropologi, psikologi, sejarah, sains politik, ekonomi dan sebagainya mengikut konsep-konsep Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Namun begitu, ia bukanlah suatu usaha yang mudah kerana umat Islam moden bukan setakat sudah biasa dengan konsep, pemikiran, metodologi dan pendekatan barat, malah sifat mereka juga telah ditentukan oleh asuhan pendidikan sekular moden sejak kecil.

Di universiti-universiti yang lokasinya di negara-negara Islam sekalipun, konsep barat dalam menerapkan ilmu-ilmu sains sosial sudah menjadi sebati di dalam semua fakluti-fakulti sains sosial. Bahan-bahan rujukan profesor dan pensyarah semuanya didominasi oleh buku-buku pemikiran berorientasikan konsep barat.

Kemudian, pemikiran barat itu dalam mentakrifkan hal sains sosial diwariskan pula kepada pelajar-pelajar melalui kuliah-kuliah pengajian.

Melaksanakan GPI adalah tugas yang sukar
Menurut Dr. Mohammad Omar Zubair, bekas Presiden Universiti Malik Abd Aziz;

Pendidikan adalah satu-satunya cara untuk memperolehi kebijaksanaan, tapi malangnya ideologi-ideologi Barat yang mengelirukan dan dogma kebendaan dunia sekular telah merobohkan dunia Islam.

Tambahnya lagi,

Keghairahan untuk mendapatkan kemajuan kebendaan dan intelektual dengan pantas telah menyebabkan dunia Islam menerima sistem pendidikan barat secara total dan cuba pula menggabungkannya dengan sistem pendidikan Islam.

Menurut pandangannya juga keadaan tergesa-gesa dalam mengaplikasikan sistem pendidikan barat telah menyebabkan dunia pendidikan di negara-negara Islam yang mengejar pembangunan berada dalam keadaan yang sumbang. Kesumbangan ini berlaku kerana konsep keimanan dan sekularisme adalah dua perkara yang jauh berbeza dan tidak dapat disatukan.

Kesukaran melaksanakan Gagasan PengIslaman Ilmu lebih sukar lagi apabila pihak pemerintah Islam sendiri menganaktirikan pendidikan berteraskan Islam. Pendidikan berasaskan sekular dan ilmu-ilmu akademik diberi pengiktirafan yang tinggi serta dimuliakan.

Barat mengetahui bahaya Gagasan PengIslaman Ilmu
Konsep GPI ini jika benar-benar diadaptasikan oleh pemerintah Islam di seluruh dunia, nescaya ia akan mempercepatkan proses mengembalikan semula zaman kegemilangan ilmu-ilmu masyarakat Islam zaman dahulu.

Konsep ini juga pada akhir objektifnya akan membawakan setiap manusia Muslim itu ke arah mengagungkan semulailmu-ilmu Islam kerana pada hakikatnya dalam sejarah Islam, setiap tokoh-tokoh Islam itu tidak sahaja menguasai ilmu duniawi tetapi juga alim di dalam ilmu-ilmu ukhrawi.

Namun demikian, usaha-usaha menghalang gagasan ini dari berkembang luas nampaknya dilakukan dengan drastik oleh golongan Illuminati. Pada 1986, Dr. Ismail Al-Faruqi dan isterinya, Dr. Louis Lamya telah dibunuh di rumahnya. Ramai pemerhati mengesyaki bahawa komplot pembunuhan ini didalangi oleh Jewish Defense Leage (JDL).

Sesungguhnya, pembunuhan Al-Faruqi telah membuktikan beberapa perkara tentang Gagasan PengIslaman Ilmu:

Pembunuhan Dr. Ismail Al-Faruqi membuktikan bahawa betapa konsep GPI ini boleh membangunkan intelektual-intelektual Muslim dalam ruang metodologi Islam dengan kadar yang cepat, pantas dan ramai.
*Ia membuktikan bahawa intelektual-intelektual Yahudi dan ideologi-ideologi mereka yang berselerak di Oxford dan Harvard boleh ditewaskan oleh sarjana-sarjana Islam masa kini.
*Ia membuktikan bahawa penerapan Sistem Pendidikan Barat @ Sekular di negara-negara Islam sengaja dirancang bagi menghalang kelahiran genius-genius Ulama Muslim zaman moden.
*Ia membuktikan bahawa masyarakat Islam terkebelakang dalam segala hal hanya kerana mengamalkan Sistem Pendidikan Barat.
*Ia membuktikan bahawa Perang-Perang Dunia adalah satu ‘pakej konspirasi’ yang lengkap dalam usaha menjajah negara Islam. Negara Islam tidak hanya diserang dan dijajah bahkan pemikiran, ideologi dan kepercayaan agamanya juga diganggu-gugat melalui satu sistem aliran politik dan pendidikan yang tersusun.
*Ia membuktikan bahawa buku-buku rujukan Sains Sosial yang diimport dan dikitabkan oleh profesor-profesor universiti adalah punca kemunduran umat Islam.
*Ia membuktikan bahawa ilmu-ilmu Islam tulen seperti Fekah, Tauhid, Mantik, Adab, Nusus, Syariah dan seangkatannya memerlukan satu pintu keluar agar kehebatan ilmu-ilmu itu dapat ditampilkan. Sesungguhnya pintu itu mestilah sebuah polisi pendidikan yang mempunyai nafas Islam seperti ‘Gagasan PengIslaman Ilmu’.

Contoh PengIslaman Ilmu : PSIKOLOGI

Antara disiplin Sains Sosial yang terdapat di universiti ialah Psikologi. Disiplin ini mengkaji tentang masalah kejiwaan, pemikiran, sifat dan tingkahlaku dalam manusia. Bagi pengamal-pengamal disiplin Psikologi, mereka akan mempelajari bahawa disiplin Psikologi mempunyai mazhab-mazhab tersendiri yang mana setiap darinya terdapat pula tokoh-tokoh yang mengasaskannya.

Mazhab-mazhab itu ialah Behaviorisme, Kognitivisme, Humanisme dan Psikoanalisis. Misalnya tokoh mazhab Behaviorisme adalah John B. Watson, B.F. Skinner dan Edward Thorndike berpegang kepada prinsip bahawa setiap sifat manusia ini adalah berpunca dari pelaziman tingkah laku. Maka pelbagai penyelidikan dilakukan untuk membuktikan konsep mereka ini benar.

Menurut Dr. Louis Kamel Matikah di dalam bukunya bertajuk Readings in Social Psychology in Arab State (1970), kebanyakan ahli-ahli psikologi Muslim menghadapi masalah di dalam kajian kemasyarakatan kerana mereka telah mengguna pakai rangka penyelidikan yang sebenarnya dirangka untuk masyarakat barat.

Hasil penggunaan metodologi yang silap dan tidak berteraskan keIslaman, maka keputusan yang didapati ke atas masyarakat Islam adalah tidak tepat.

Di dalam kertas kerja bertajuk An Islamization of Knowledge Process in Psychology (1977) oleh Dr. Abd Hamid al-Hashimi, beliau mengatakan;

Hasil dari latihan yang didapati dari luar, sebilangan ahli psikologi kita menggunakan teori dan prinsip psikologi Barat di dalam bidang kajian mereka terhadap masyarakat Islam.

Sejarah tokoh Psikologi sengaja diputar belit
Di dalam kertas kerja yang sama juga, Dr. Abd Hamid mengatakan intelektual Islam lebih dahulu memperkenalkan disiplin Psikologi berbanding profesor-profesor barat. Malah kajian yang dilakukan oleh sarjana Islam klasik lebih mendalam dan menepati kehendak masyarakat Islam itu sendiri.

Beliau menegaskan bahawa walaupun Barat cuba mengaitkan pemikiran Aristotle dari Greek untuk menjana sejarah klasik Psikologi tetapi hakikatnya mereka hanya baru memperkenalkan disiplin ilmu ini sekitar 1800-an.

Tetapi umat Islam lebih mendahului disiplin ini dari barat yakni 850 tahun sebelum itu. Ini bermakna Barat hanya berjaya memperkenalkan disiplin Psikologi selepas 850 tahun umat Islam meneroka ilmu ini. Perkara ini tidak diilmukan oleh pensyarah-pensyarah Psikologi di universiti kepada pelajar-pelajar kerana sebahagian besar mereka sendiri telah taksub dan terdidik dalam mengagungkan metodologi barat.

Berikut ialah tokoh-tokoh Islam dalam disiplin Psikologi;

*Abu Nasr Al-Farabi (meninggal pada 950M) - membuat kajian tentang kejiwaan masyarakat Utopia yang bertajuk Opinion of the Citizens of Utopia.
*Ibnu Sina (meninggal pada 1037 M) - menulis dua kitab berkaitan psikologi dengan tajuk The Moods of Psyche dan Hints and Notice. Beliau membincangkan tekanan psikologi, perasaan-perasaan yang tersembunyi dan nyata. Beliau juga secara tidak langsung mengasaskan kajian dalam ingatan, jenis-jenis ingatan dan faktor-faktornya.
*Imam Al-Ghazali (meninggal pada 1111M) - menulis karya agungnya tentang jiwa manusia dengan tajuk “Ihya Ulumuddin”.
*Ibnu Al-Jawzi (meninggal pada 1201M) - menulis buku bertajuk The Intelligent. Buku ini membincangkan tentang otak, kebolehan berfikir, pemikiran, kaedah mengukur kecerdasan otak dan beberapa kes berkaitan.
*Abu Bakar Muhammad Al-Qays Ibn Tufayal (meninggal pada 1185M) menulis buku bertajuk ‘Hayy ibn Yaqzan’ kemudian diterbitkan semula kitab ini dengan tajuk Hayy ibn Yakqzan: A Pioneering Psychology Study and an Islamic Masterpiece (1975). Buku membincangkan peringkat kehidupan Hayy sebagai seorang kanak-kanak, belia, lelaki muda dan orang dewasa. *Ibn Tufayal juga membincangkan pelbagai fenomena psikologi Hayy seperti kasih sayang, imaginasi, hubungan sosial dan perasaannya dengan persekitaran.
Sebelum Gagasan PengIslaman Ilmu diperkenalkan lagi, terdapat usaha-usaha dari beberapa sarjana Islam untuk mengIslamkan ilmu secara individu. Antara sarjana Islam yang mengutarakan idea itu ialah Dr. Fuad Al-Ahwani di dalam bukunya yang bertajuk Psychological Studies by Classical Muslim Scholars (1963).

Dr. Fuad Al-Ahwani menyatakan bahawa akan menubuhkan satu disiplin baru di dalam kurikulum pendidikan yang dipanggil ‘Psikologi Islam’.

KESIMPULAN
Gagasan PengIslaman Ilmu adalah satu mandat yang amat sempurna dalam menghakis aliran sekular di dalam disipilin-disiplin ilmu Sains Sosial di universiti. Ia juga merupakan satu senjata pemikiran yang ampuh unttuk mengeluarkan umat Islam dari kepompong bekung sekularisme pendidikan.

Amat malangnya, pelancaran gagasan ini dapat dihidu awal oleh golongan Illuminati. Mereka lebih cepat mengenalpasti kesan-kesan jangka panjang hasil daripada perlaksanaan gagasan ini. Bukan setakat mengenalpasti, mereka juga dapat menyekat cahaya gagasan ini dari menyinari sarjana-sarjana Islam di seluruh dunia.

Namun, ia bukanlah bermakna sarjana Islam berputus asa dengan sekatan Illuminati itu...

Wallahu’alam.

Tuesday, July 28, 2009

KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN 2009

Bismillahirrahmanirrahim

Klik Gambar Untuk Saiz Sebenar

sumber:


Sunday, June 14, 2009

PKPIM Bawa Suara Rakyat Palestin Ke Peringkat Antarabangsa

Bismillahirrahmanirrahim.

Muhammad Faisal Abdul Aziz sedang membentangkan kertas kerja

Simposium Antarabangsa Palestin anjuran Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) pada 30 – 31 Mei 2009 yang lalu telah menampilkan pelbagai tokoh Islam antarabangsa dari pelabagai negara sebagai usaha untuk mencari solusi jangka panjang terhadap krisis yang berlaku di rantau berkenaan. Apa yang menarik, Simposium berkenaan telah mengiktiraf ketokohan beberapa pemimpin NGO Islam di Malaysia apabila mereka dijemput oleh pihak penganjur untuk membentangkan kertas kerja.

Pemimpin Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) En Ahmad Azam Abdul Rahman antara wakil Malaysia yang dijemput untuk berkongsi idea bersama puluhan NGO Islam dari seluruh dunia. Beliau yang sebelum ini pernah membentangkan kertas kerja berkenaan isu "Islamphobia" pada tahun 2008 yang lalu, turut diberi penghormatan untuk memberikan ucaptama dalam simposium berkenaan. Selain Wadah, beliau turut aktif bersuara dalam isu yang melibatkan persoalan antarabangsa menerusi platform Future Global Network (FGN),

Di samping itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) juga telah menempa sejarah apabila menjadi satu-satunya pertubuhan mahasiswa yang dijemput untuk mewakili Malaysia untuk membentangkan kertas kerja berkenaan isu rakyat Palestin di pentas simposium antarabangsa berkenaan. En Muhammad Faisal Abdul Aziz yang merupakan Naib Presiden Antarabangsa PKPIM adalah tokoh paling muda di kalangan semua pembentang yang dijemput untuk membentangkan kertas kerja di pentas simposium berkenaan yang dianjurkan di Istanbul, Turki.

Sementara itu, PKPIM yang juga merupakan anggota gabungan Union of NGOs of Islamic World (UNIW), sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menganjurkan simposium tersebut turut diberi kuota untuk menghantar tiga orang perwakilan.

Mereka yang mewakili PKPIM dalam simposium berkenaan termasuklah Naib Presiden Antarabangsa, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Kebangsaan Hasnul Hanif Harun, dan AJK Sekretariat Massa Hafidz Hakimi Haron. Selain PKPIM pertubuhan lain yang hadir termasuklah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah penceradasan Umat Malaysia (Wadah), Global Peace Mission Malaysia, Yayasan Takmir Pendidikan, dan yayasan Islam Hadhari.

Simposium yang kali pertama dianjurkan pertubuhan dunia berkenaan turut menjemput seorang lagi wakil Malaysia yang lain iaitu En Kazi Mahmood dari World Future Online.

Simposium Antarabangsa berkenaan telah dibahagikan kepada empat sesi untuk hari pertama dan kedua. Sesi dimulakan dengan topik yang menjurus kepada perbincangan bagi tajuk “Isu Palestin Dalam Proses Sejarah”. Dalam sesi berkenaan, beberapa tokoh dari Turki dan Al-Quds seperti Prof. Dr. Ahmet Agırakca, Prof. Dr. M. Lutfullah Karaman, Abdulmecit Agbariye, dan sebagainya telah melontarkan pandangan masing-masing berkenaan dengan kajian sejarah penubuhahan negara haram Israel pada tahun 1948.

Sesi tersebut disusuli dengan topik “Struktur Politik Palestin & Pendekatan Terhadap Isu Palestin”. Topik tersebut telah dibentang dan dikupas dengan meluas oleh lima orang pembentang iaitu Dr. Ghulam Nabi Fai dari Amerika Syarikat (USA), Hassan Abu Nimah dan Marwan Shehadeh dari Jordan, Ali Oner dan Aytunc Altındal dari Turki.



Dalam sesi ini, pembentang rata-ratanya berkongsi tentang kegagalan beberapa siri proses damai antara Palestin dan Israel yang meliputi beberapa aspek termasuklah faktor dan pendekatan lapuk yang digunakan yang di mana menjadi penyumbang terbesar kepada kebuntuan tersebut.

Faisal dan Hanif berbincang sesuatu bersama perwakilan dari Turki

Dalam pada itu, sesi ketiga yang mengupas tentang isu “Palestin dan Status Perundangan” pula merupakan antara sesi perbincangan yang menarik untuk dikongsi. Pembentang pertama Dr Azzam Tamimi dari England telah mengupas pandangannya dalam sebuah kertas kerja yang bertajuk “Hamas: Dari penentang kepada kerajaan” menegaskan bahawa keengganan untuk mengiktiraf Hamas sebagai sebuah kerajaan yang sah dari sudut undang-undang merupakan antara faktor mengapa permasalahan Palestin berterusan.



Di samping itu, dalam kertas kerja “Pendudukan Palestin: Suatu Anachronism Perang Dingin” yang dibentangkan oleh wakil Malaysia Kazi Mahmood pula menyatakan kesan buruk yang ditimbulkan NATO sekiranya Israel diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah. Manakala, dalam siri perbahasan kertas kerja yang bertajuk “Satu Negara: Cadangan Kepada Pengakhiran Kebuntuan” pula, pembentang dari Amerika Syarikat, Ali Ebu Nimah dengan terang-terangan telah menyalahkan kerajaan Boneka Palestin Mahmud Abbas yang menjadi dalang terhadap kesengsaraan sistem demokrasi Palestin.



Hari pertama diakhiri dengan sesi perbincangan bagi tajuk “Media dan Palestin” yang dikupas oleh beberapa pembentang dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Mesir, Al-Quds, dan Turki. Berdasarkan perspektif para pembentang, mereka rata-ratanya menilai tulang belakang kepada liputan media antarabangsa terkemuka seperti CNN, BBC, dan Aljazeera telah dipengaruhi oleh kuasa barat sehingga condong untuk membawa liputan yang disifatkan tidak tepat dan berat sebelah.

Sesi bagi hari kedua pula dimulakan dengan perbincangan tentang “Penafian Hak Asasi Manusia oleh Israel dan Jenayah Perangnya”. Sesi tersebut mendapat perhatian umum apabila beberapa tokoh barat turut sama berkongsi kajian berkenaan isu tersebut yang sekian lama menyelubungi kehidupan rakyat Palestin. Antara tokoh yang dinyatakan termasuklah Gonzalo Boye dari Sepanyol dan Dr. Haytham Manna dari Perancis yang telah membuat kajian terperinci dan mendalam berhubung pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku ke atas umat Islam Palestin.

Sesi tersebut disusuli dengan perbincangan menyeluruh berkenaan dengan isu Pelarian Palestin. Pembentang dari Lubnan, Ali Hweydi dan Mahmoud Khaled Al Hanafi telah berkongsi dengan hadirin tentang kesengsaraan dan kesempitan hidup yang dilalui oleh pelarian Palestin yang berteduh di beberapa kem di Lubnan.

Manakala pembentang dari Syria, Tarek Hammoud pula turut berkongsi permasalahan yang sama terhadap pelarian yang berkeliaran di sekitar Syria. Mereka turut berkongsi beberapa perkara yang bersangkutan dengan kesan jangka panjang terhadap sosio hidup dan ekonomi kedua-dua negara berkenaan sekiranya pelarian Palestin berterusan menetap di kem-kem yang dinyatakan.

Dalam pada itu, pembentang dari Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz pula telah menerangkan tentang projek penempatan semula pelarian Palestin di bawah pelan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau UNHCR. Berdasarkan lawatan kerja beliau pada tahun 2008 ke tiga kem pelarian di Syria iaitu Al-Walid, El-Hol, dan Al-Tanf, terdapat keperluan yang mendesak bagi negara kaya untuk membantu pelarian yang hidup seperti “bergantung tidak bertali” kerana tidak dibenarkan berkerja dan mendapat pendidikan atas sebab status mereka sebagai pelarian.

Beliau menerusi PKPIM yang juga diamanahkan oleh agensi berkenaan sebagai pelobi negara-negara Islam bagi memastikan projek penempatan semula rakyat Palestin diterima oleh negara berkenaan telah mengesyorkan Negara Islam untuk mengambil tanggungjawab dengan menerima inisiatif berkenaan demi memastikan masa depan generasi muda Palestin terus cerah.

Dalam sesi ketiga, topik “Keberkesanan NGO dan bantuan Kemanusiaan” telah dibahas oleh beberapa tokoh pembentang dari pelbagai rantau. Prof. Dr. Jameela al Shanty telah mengupas kajian berkenaan “Kesan Pencerobohan Gaza Terhadap Hak Asasi Wanita”, manakala pembentang dari Malaysia Ahmad Azzam Abdulrahman telah berkongsi pandangan dengan hadirin menerusi kertas kerja “Krisis Palestin: Pemerkasaan Multipolarismdan peranan Masyarakat Sivil”.

Dalam pembentangan tersebut, beliau yang juga mantan Presidan ABIM telah menyarankan masyarakat Islam supaya melakukan reformasi di peringkat dalaman dan luaran sepertimana yang dilakukan Sultan Muhammad Al-Fateh untuk menawan kota Istanbul. Menurut beliau lagi, tanpa perubahan tersebut, kemenangan sama sekali tidak akan berpihak kepada Palestin. Sementara itu, beliau turut mengkritik sikap individualistik dan dokongan nasionalisme Arab yang menebal yang menjadi punca utama kepada kejatuhan Empayar Islam Uthmaniah pada tahun 1924.

Di samping itu, sesi yang membincangkan tentang solusi permasalahan Palestin telah mengakhiri Simposium berkenaan. Dalam sesi ini, empat tokoh akademik dari beberapa universiti diberi kesempatan untuk melontarkan pandangan. Mereka termasuklah Assoc. Dr. Berdal Aral dan Assoc. Dr. Ferhan Mucahet Chak dari Turki, Prof. Dr. Sameer Kantakji dari Norway, dan Prof. Dr. Muhammad Sharkawe dari Arab Saudi.

Simposium berkenaan diakhiri dengan ucapan penggulungan dan “Resolusi Pendirian Terakhir” yang dibaca oleh Timbalan Setiausaha Agung UNIW, Ali Kurt.



Entri diambil dari blog FAISAL AZIZ, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM Pusat. (http://faisalabdaziz.blogspot.com)

Wallahua'lam.

Saturday, June 13, 2009

ORIENTASI GERAKAN PKPIM

PKPIM menggariskan beberapa landasan teori sebagai orientasi gerakan persatuan ini iaitu :

1.Dakwah & Tarbiah
Gerakan Islam yang diasaskan dengan semangat amar makruf nahi mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan menyanggah kemungkaran), mementingkan sistem pendidikan dan latihan ahli yang lengkap dan bersepadu.

2.Ilmiyyah (Berbudaya ilmu)
Gerakan yang ditunjangi oleh budaya ilmu yang mantap, rasional dan objektif dalam membezakan anatara hak dan batil.

3.Desekularisasi
Gerakan yang menggabungjalinkan ilmu-ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu-ilmu wahyu yang dituntut (acquired knowledge) dalam proses membangunkan ummat serta mengambil pendekatan mengintelektualkan ulama’ dan mengulama’kan intelektual.

4.Waşoţiyyah (Kesederhanaan)
Mengambil pendekatan yang sederhana dan tepat dengan menjauhi segala bentuk kecenderungan yang melampau.

5.Jamāhiriyyah (Akomodatif)
Mengambilkira kepelbagaian gaya hidup masyarakat dalam merangka gerak kerja terhadap sasaran dakwah yang berbeza.

6.Wāqi`iyyah (Setempat)
Menimbang realiti setempat yang cukup tersendiri dalam melaksanakan ‘manhaj mālizy’ (pendekatan ala Malaysia) dalam penyebaran dakwah.

7.Tārikhiyyah (Historis)
Sebuah gerakan yang mempunyai pengalaman dan prestasi gerak kerja yang terbukti berkesan, matang dan mampu kekal relevan sepanjang zaman.

8.Ālamiyyah (Global)
Menjadi gerakan yang dalam gerak kerjanya menjangkau dan merentasi sempadan geografi, politik, agama, budaya dan bangsa.

9.Non-Partisan
Mendokong kebenaran dan menyanggah kebatilan tanpa sebarang keterikatan dengan sebarang puak hingga menghalang pertimbangan rasional dan keadilan.

BUDAYA 7 PKPIM

PKPIM meletakkan budaya ilmu sebagai satu perkara wajib haraki (gerakan) yang mesti diamalkan oleh ahli persatuan :

1.Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia
Budaya ini selaras dengan tuntutan Allah di dalam surah Al-Alaq yang pertama diturunkan sebagai permulaan suatu kebangkitan dominan ilmu serta alam. PKPIM di dalam orientasinya meletakkan Ālamiyyah sebagai ukuran kekuatan insan bagi membezakan yang hak dan batil. Ianya didasari oleh Al-Quran dan As-Sunnah serta ilmu-ilmu keduniaan lain yang menjadi adunan terbaik pembinaan insan berkualiti.

2.Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar
Sifat ini selaras dengan ciri-ciri pembinan generasi rabbāni yang melatih insan untuk bersifat terbuka, menerima pandangan dan dalam masa yang sama berhikmah dalam menegur pihak lain. Budaya ini mampu memupuk rasa rendah diri (tawad¸u`) atas kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan sendiri serta orang lain.

3.Penghayatan amalan kerohanian
Penghayatan budaya ini dilakukan melalui Qiamullail, zikir al-Mathurat dan amalan-amalan Rasulullah SAW secara istiqamah baik secara individu atau jemaah. Hubungan intim kita dengan Allah SWT merupakan prasyarat utama dalam membina kekuatan kita selaku gerakan pelajar Islam.

4.Memperkasa semangat ukhuwwah
Semangat ini terbina atas dasar aqidah seterusnya melahirkan rasa kasih sayang sesama insan kerana Allah. Ia mendorong insan untuk sama-sama menjaga kebajikan dan kepentingan insan lain. Rasulullah SAW berpesan dalam hadithnya yang bermaksud: tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi saudara kamu sendiri.
Hadis riwayat Bukhari

5.Menghayati amalan syura, amal jamā`iy & budaya kerja terancang
Amalan syura secara bersepadu dalam sistem keorganisasian dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan persatuan. Manakala budaya kerja terancang merupakan satu latihan disiplin ahli sebagai tanda patuh dan taat kepada keputusan yang telah dipersetujui bersama. Namun kesatuan amal ini hanya terlaksana dengan terikatnya kesatuan fikrah sehingga membentuk satu gelombang dakwah yang berterusan dan terencana.


6.Prihatin dan iltizam dengan isu semasa
Perbincangan dalam isu-isu sosial dan kemasyarakatan seperti isu pendidikan, kebejatan sosial, pencabulan hak asasi manusia dan lain-lain adalah antara usaha untuk membuka perspektif realiti umat Islam masa kini. Budaya ini penting dalam merancang, menganalisa dan merumus isu tersebut dalam rangka membela umat.

7.Menghayati rūh al-jihād fï sabïl al-Allah
Inilah peringkat tertinggi yang dapat dicapai hasil latihan dan semangat untuk meratakan kalimah iman dan amal di segenap alam. Peringkat ini hanya teruji dengan pengorbanan tidak berbelah bahagi terhadap urusan jamaah bersandarkan fiqh al-awlawïyah (fiqh keutamaan). Jiwa yang terbina di atas landasan jihad menuntut kesediaan diri insan dengan semua persiapan di atas.

SEJARAH PENUBUHAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.

Penubuhan PKPIM ini diusahakan oleh sekumpulan pelajar yang terdiri daripada 10 orang pemimpin pelajar daripada lima institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Malaya, Maktab Teknik Kuala Lumpur (sekarang Universiti Teknologi Malaysia), Maktab Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia), Kolej Islam Malaya (sekarang Maktab Perguruan Islam) dan Maktab Perguruan Bahasa. Tujuan utama penubuhan persatuan ini pada awalnya adalah untuk menjadi wakil tunggal pelajar-pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada waktu itu untuk berhubung dengan badan-badan pelajar Islam di luar negeri.


PKPIM ditubuhkan atas dasar inisiatif yang timbul kesan dari Seminar Pelajar Islam Se Malaysia yang pertama kali dianjurkan pada 4 September 1960 bertempat di Universiti Malaya. Beberapa persatuan pelajar Islam dari luar negara seperti Malaya, Indonesia, Singapura, Brunei, Sabah, Sarawak, Filipina dan Ceylon menjadi perwakilan pada hari tersebut. Seminar ini merupakan seminar pertama yang dianjurkan oleh para pelajar atas nama Islam.


Hasil dari seminar tersebut beberapa resolusi telah dibentuk iaitu persatuan pelajar-pelajar Islam PTM perlu mengadakan satu persatuan kebangsaan bagi menyatupadukan pelajar-pelajar Islam di PTM dan perlunya PTM mengadakan satu institusi pengajian tinggi (universiti) bagi memenuhi keperluan pengajian Islam yang ada di negara ini. Hasil dari resolusi yang dibuat, maka Jawatankuasa Seminar memberi mandat untuk membentuk satu Jawatankuasa Penaja penubuhan PKPIM. Hasilnya, terbentuklah satu Jawatankuasa Perancang penubuhan PKPIM yang kebanyakan ahlinya terdiri dari Jawatankuasa seminar tersebut. Berikut adalah senarai nama 10 orang pemimpin pelajar yang dimaksudkan:

1. Sulaiman Hj. Nordin Pengerusi (Maktab Pertanian Malaya)
2. Ahmad Johari (Setiausaha Maktab Pertanian Malaya)
3. W. Jaafar Abdullah (Universiti Malaya)
4. Mohd Ghazali Abdullah] (Universiti Malaya)
5. Azizuddin Meor Hamzah (Maktab Teknik Kuala Lumpur)
6. Annuar Hj. Ab. Razak ( Maktab Teknik Kuala Lumpur)
7. Ismail Ibrahim (Kolej Islam Malaya)
8. Ahmad Awang (Kolej Islam Malaya)
9. Ab. Rahman Hj. Taib (Maktab Perguruan Bahasa)
10. Zainal Adnan Yang Yahya (Maktab Perguruan Bahasa)

Jawatankuasa Perancang ini kemudiannya mengadakan beberapa siri mesyuarat yang bermula dari tarikh 2 Oktober 1960 di Asrama Pertama dan Asrama Kedua Universiti Malaya bagi membincangkan masalah pembentukan persatuan dan merangka perlembagaan PKPIM. Akhirnya pada 31 Mac 1961 bertempat di Asrama Kedua Universiti Malaya, PKPIM telah berjaya ditubuhkan dengan gabungan 5 institusi pengajian tempatan dan 3 bulan kemudian pada 27 Jun 1961 PKPIPTM telah berjaya didaftarkan. Sejak itu PKPIM terus berkembang sehingga mencetuskan kesedaran Islamiah di kalangan generasi muda sehingga kini khususnya pada akhir dekad 60an dan awal dekad 70an.

SALAM UKHUWAH!



Assalamualaikum W.B.T.

Tujuan blog ini direka adalah bertujuan sementara untuk menggantikan Laman Sesawang PKPIM PAUIAM Nilai yang masih lagi dalam pembikinan. Atas beberapa masalah tertentu, laman sesawang tersebut terpaksa ditangguhkan pengisytiharannya.

Dan untuk makluman, blog ini juga masih dalam pembikinan.

Shukran.

Wassalamualaikum.