SEMINAR PANDANGAN ALAM ISLAM & SYARAHAN PERDANA PROF. DR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

SEMINAR PANDANGAN ALAM ISLAM & SYARAHAN PERDANA PROF. DR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS
Sila klik pada gambar untuk maklumat lanjut.
Tarikh: Ahad, 13 Disember, 2009
Masa: 8:15am - 11:15pm
Tempat: Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta


PENDAHULUAN

Dalam menghadapi kegentingan masalah masyarakat Islam dalam pelbagai bidang dewasa ini, satu usaha yang terencana dan teliti bagi merungkai masalah tersebut amat diperlukan. Oleh sebab itu, segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan unsur-unsur penting yang membentuk alam pemikiran mereka. Bertitik tolak dari kesedaran tentang pentingnya usaha tersebut satu seminar sehari pengukuhan Pandangan Alam Islam akan dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia.


OBJEKTIF

1. Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
2. Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
3. Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.


PENGANJUR

Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Dengan kerjasama,
Institut Integriti Malaysia (IIM)


PESERTA

Sasaran penyertaan sebanyak 200 orang (bagi Seminar) dan 500 orang (bagi Syarahan Perdana) daripada kalangan ahli akademik, ahli profesional, pelajar dan orang awam.


YURAN

Yuran Seminar dan Syarahan Perdana:
Organisasi : RM100 seorang (kumpulan 5 orang)
Individu : RM150
Pelajar : RM20

Yuran untuk Syarahan Perdana sahaja:
Individu : RM50
Pelajar : RM10


TENTATIF PROGRAM

9.00 – 10.30 pagi Perasmian oleh Tetamu Kehormat

Ucap Utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, UKM
Tajuk: Pengukuhan Pandangan Alam Islam Di Kalangan Masyarakat Islam Kini: Cabaran dan Harapan

11.00 – 1.00 ptg Sidang Pertama
Pembentang:
1. Dr. Mohd Zaidi Ismail, IKIM
Tajuk: Faham Ilmu Dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas

2. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM
Tajuk: Makna dan Matlamat Agama dalam Islam

2.00 – 3.30 ptg Sidang Kedua
Pembentang:

1. Dr. Mohd Sani Badron, IKIM
Tajuk: Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam

2. Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM
Tajuk: Islam dan Falsafah Sains

3.45 - 5.30 ptg Sidang Tiga
Pembentang:

1. Dr. Ahmad Bazli Shafie, UMT
Tajuk: Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan

2. Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, IKIM
Tajuk: Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan

5.30 - 8.30 Rehat

9.00 – 11.00 mlm Syarahan Perdana ( Dalam Bahasa Inggeris/In English)

Oleh: Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas

Klik untuk maklumat lebih lanjut.

Saturday, June 13, 2009

ORIENTASI GERAKAN PKPIM

PKPIM menggariskan beberapa landasan teori sebagai orientasi gerakan persatuan ini iaitu :

1.Dakwah & Tarbiah
Gerakan Islam yang diasaskan dengan semangat amar makruf nahi mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan menyanggah kemungkaran), mementingkan sistem pendidikan dan latihan ahli yang lengkap dan bersepadu.

2.Ilmiyyah (Berbudaya ilmu)
Gerakan yang ditunjangi oleh budaya ilmu yang mantap, rasional dan objektif dalam membezakan anatara hak dan batil.

3.Desekularisasi
Gerakan yang menggabungjalinkan ilmu-ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu-ilmu wahyu yang dituntut (acquired knowledge) dalam proses membangunkan ummat serta mengambil pendekatan mengintelektualkan ulama’ dan mengulama’kan intelektual.

4.Waşoţiyyah (Kesederhanaan)
Mengambil pendekatan yang sederhana dan tepat dengan menjauhi segala bentuk kecenderungan yang melampau.

5.Jamāhiriyyah (Akomodatif)
Mengambilkira kepelbagaian gaya hidup masyarakat dalam merangka gerak kerja terhadap sasaran dakwah yang berbeza.

6.Wāqi`iyyah (Setempat)
Menimbang realiti setempat yang cukup tersendiri dalam melaksanakan ‘manhaj mālizy’ (pendekatan ala Malaysia) dalam penyebaran dakwah.

7.Tārikhiyyah (Historis)
Sebuah gerakan yang mempunyai pengalaman dan prestasi gerak kerja yang terbukti berkesan, matang dan mampu kekal relevan sepanjang zaman.

8.Ālamiyyah (Global)
Menjadi gerakan yang dalam gerak kerjanya menjangkau dan merentasi sempadan geografi, politik, agama, budaya dan bangsa.

9.Non-Partisan
Mendokong kebenaran dan menyanggah kebatilan tanpa sebarang keterikatan dengan sebarang puak hingga menghalang pertimbangan rasional dan keadilan.

BUDAYA 7 PKPIM

PKPIM meletakkan budaya ilmu sebagai satu perkara wajib haraki (gerakan) yang mesti diamalkan oleh ahli persatuan :

1.Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia
Budaya ini selaras dengan tuntutan Allah di dalam surah Al-Alaq yang pertama diturunkan sebagai permulaan suatu kebangkitan dominan ilmu serta alam. PKPIM di dalam orientasinya meletakkan Ālamiyyah sebagai ukuran kekuatan insan bagi membezakan yang hak dan batil. Ianya didasari oleh Al-Quran dan As-Sunnah serta ilmu-ilmu keduniaan lain yang menjadi adunan terbaik pembinaan insan berkualiti.

2.Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar
Sifat ini selaras dengan ciri-ciri pembinan generasi rabbāni yang melatih insan untuk bersifat terbuka, menerima pandangan dan dalam masa yang sama berhikmah dalam menegur pihak lain. Budaya ini mampu memupuk rasa rendah diri (tawad¸u`) atas kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan sendiri serta orang lain.

3.Penghayatan amalan kerohanian
Penghayatan budaya ini dilakukan melalui Qiamullail, zikir al-Mathurat dan amalan-amalan Rasulullah SAW secara istiqamah baik secara individu atau jemaah. Hubungan intim kita dengan Allah SWT merupakan prasyarat utama dalam membina kekuatan kita selaku gerakan pelajar Islam.

4.Memperkasa semangat ukhuwwah
Semangat ini terbina atas dasar aqidah seterusnya melahirkan rasa kasih sayang sesama insan kerana Allah. Ia mendorong insan untuk sama-sama menjaga kebajikan dan kepentingan insan lain. Rasulullah SAW berpesan dalam hadithnya yang bermaksud: tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi saudara kamu sendiri.
Hadis riwayat Bukhari

5.Menghayati amalan syura, amal jamā`iy & budaya kerja terancang
Amalan syura secara bersepadu dalam sistem keorganisasian dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan persatuan. Manakala budaya kerja terancang merupakan satu latihan disiplin ahli sebagai tanda patuh dan taat kepada keputusan yang telah dipersetujui bersama. Namun kesatuan amal ini hanya terlaksana dengan terikatnya kesatuan fikrah sehingga membentuk satu gelombang dakwah yang berterusan dan terencana.


6.Prihatin dan iltizam dengan isu semasa
Perbincangan dalam isu-isu sosial dan kemasyarakatan seperti isu pendidikan, kebejatan sosial, pencabulan hak asasi manusia dan lain-lain adalah antara usaha untuk membuka perspektif realiti umat Islam masa kini. Budaya ini penting dalam merancang, menganalisa dan merumus isu tersebut dalam rangka membela umat.

7.Menghayati rūh al-jihād fï sabïl al-Allah
Inilah peringkat tertinggi yang dapat dicapai hasil latihan dan semangat untuk meratakan kalimah iman dan amal di segenap alam. Peringkat ini hanya teruji dengan pengorbanan tidak berbelah bahagi terhadap urusan jamaah bersandarkan fiqh al-awlawïyah (fiqh keutamaan). Jiwa yang terbina di atas landasan jihad menuntut kesediaan diri insan dengan semua persiapan di atas.

SEJARAH PENUBUHAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.

Penubuhan PKPIM ini diusahakan oleh sekumpulan pelajar yang terdiri daripada 10 orang pemimpin pelajar daripada lima institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Malaya, Maktab Teknik Kuala Lumpur (sekarang Universiti Teknologi Malaysia), Maktab Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia), Kolej Islam Malaya (sekarang Maktab Perguruan Islam) dan Maktab Perguruan Bahasa. Tujuan utama penubuhan persatuan ini pada awalnya adalah untuk menjadi wakil tunggal pelajar-pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada waktu itu untuk berhubung dengan badan-badan pelajar Islam di luar negeri.


PKPIM ditubuhkan atas dasar inisiatif yang timbul kesan dari Seminar Pelajar Islam Se Malaysia yang pertama kali dianjurkan pada 4 September 1960 bertempat di Universiti Malaya. Beberapa persatuan pelajar Islam dari luar negara seperti Malaya, Indonesia, Singapura, Brunei, Sabah, Sarawak, Filipina dan Ceylon menjadi perwakilan pada hari tersebut. Seminar ini merupakan seminar pertama yang dianjurkan oleh para pelajar atas nama Islam.


Hasil dari seminar tersebut beberapa resolusi telah dibentuk iaitu persatuan pelajar-pelajar Islam PTM perlu mengadakan satu persatuan kebangsaan bagi menyatupadukan pelajar-pelajar Islam di PTM dan perlunya PTM mengadakan satu institusi pengajian tinggi (universiti) bagi memenuhi keperluan pengajian Islam yang ada di negara ini. Hasil dari resolusi yang dibuat, maka Jawatankuasa Seminar memberi mandat untuk membentuk satu Jawatankuasa Penaja penubuhan PKPIM. Hasilnya, terbentuklah satu Jawatankuasa Perancang penubuhan PKPIM yang kebanyakan ahlinya terdiri dari Jawatankuasa seminar tersebut. Berikut adalah senarai nama 10 orang pemimpin pelajar yang dimaksudkan:

1. Sulaiman Hj. Nordin Pengerusi (Maktab Pertanian Malaya)
2. Ahmad Johari (Setiausaha Maktab Pertanian Malaya)
3. W. Jaafar Abdullah (Universiti Malaya)
4. Mohd Ghazali Abdullah] (Universiti Malaya)
5. Azizuddin Meor Hamzah (Maktab Teknik Kuala Lumpur)
6. Annuar Hj. Ab. Razak ( Maktab Teknik Kuala Lumpur)
7. Ismail Ibrahim (Kolej Islam Malaya)
8. Ahmad Awang (Kolej Islam Malaya)
9. Ab. Rahman Hj. Taib (Maktab Perguruan Bahasa)
10. Zainal Adnan Yang Yahya (Maktab Perguruan Bahasa)

Jawatankuasa Perancang ini kemudiannya mengadakan beberapa siri mesyuarat yang bermula dari tarikh 2 Oktober 1960 di Asrama Pertama dan Asrama Kedua Universiti Malaya bagi membincangkan masalah pembentukan persatuan dan merangka perlembagaan PKPIM. Akhirnya pada 31 Mac 1961 bertempat di Asrama Kedua Universiti Malaya, PKPIM telah berjaya ditubuhkan dengan gabungan 5 institusi pengajian tempatan dan 3 bulan kemudian pada 27 Jun 1961 PKPIPTM telah berjaya didaftarkan. Sejak itu PKPIM terus berkembang sehingga mencetuskan kesedaran Islamiah di kalangan generasi muda sehingga kini khususnya pada akhir dekad 60an dan awal dekad 70an.

SALAM UKHUWAH!



Assalamualaikum W.B.T.

Tujuan blog ini direka adalah bertujuan sementara untuk menggantikan Laman Sesawang PKPIM PAUIAM Nilai yang masih lagi dalam pembikinan. Atas beberapa masalah tertentu, laman sesawang tersebut terpaksa ditangguhkan pengisytiharannya.

Dan untuk makluman, blog ini juga masih dalam pembikinan.

Shukran.

Wassalamualaikum.